Sally.

Advertisements

Ph.

[ Dr Kamarul Yusoff menulis ]

KRITIKAN TERPEDAS AHLI AKADEMIK KE ATAS PAKATAN HARAPAN

Saya secara peribadi tidak mengenali Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin yang merupakan pensyarah Program Sains Politik UKM, tetapi bila membaca tulisan beliau bertajuk “Pakatan Harapan dan Badi Kuasa” yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini, rasanya beliau bolehlah dinobatkan sebagai pengkritik terpedas ke atas Pakatan Harapan dari kalangan ahli-ahli akademik di institut pengajian tinggi awam tempatan setakat hari ini.

Di bawah ini adalah petikan tulisan beliau tersebut:

“Saya kini telah mula memikirkan artikel ilmiah yang ingin saya tulis selepas PRU15 tiga atau empat tahun dari sekarang (mungkin lebih awal dari tempoh itu?). Tajuk tentatif artikel jurnal ini mungkin berbunyi : “Eksperimen yang Gagal: Perbandingan antara DPJ Jepun dan Pakatan Harapan Malaysia”. Tajuk ini merupakan satu perbandingan dan peringatan yang telah meluas dibangkitkan oleh para penganalisis (dan rakyat Jepun di Malaysia sendiri) terhadap parti yang pernah diberikan harapan oleh rakyat Jepun untuk menjadi lebih baik daripada LDP. Namun harapan hanya tinggal harapan dan rakyat Jepun kembali memilih LDP sehingga kini setelah melihat DPJ hanya menanam tebu di bibir.”

“Justeru, apa yang disaksikan rakyat dalam tempoh 10 bulan ini merupakan manifestasi badi kuasa yang menelurkan semula apa yang pernah dilakukan BN-UMNO sebelum ini – keangkuhan, keasyikan dengan autoriti dan keterputusan dengan rakyat (bawahan). Jika sebelum ini ketika menjadi pembangkang, PH sering bersandar dengan mantra “rakyat bukan bodoh” dan “jangan memperbodohkan rakyat”, maka tibalah giliran pembangkang kini untuk menggunakan mantra yang sama terhadap PH. Dalam kata lain, ia hanyalah “wain lama dalam botol baharu” yang didalangi sentimen kerakusan, keegoan dan kedangkalan. Tidak perlu saya jejerkan satu persatu apa yang telah dilakukan PH dalam 10 bulan ini. Sekadar menyatakan bahawa tingkah laku PH kini menyebabkan BN kelihatan begitu “baik dan telah mula dirindui”. Siapa pernah menyangka Najib akan kembali menjadi item hangat? Siapa pernah menyangka bahawa ceramah orang seperti Ahmad Maslan kini begitu menarik untuk didengar? Siapa pernah menyangka UMNO dan Pas kini boleh “bercium mulut”? Kesemua ini menandakan keperluan rakyat atau orang Melayu (khususnya golongan luar bandar, peneroka FELDA, nelayan atau pekerja kelas bawahan yang menjadi “mangsa” kerajaan PH) mencari sandaran kelegaan psikologi terhadap ketidaktentuan yang mereka hadapi.”

“Namun dengan melihat percaturan, kenyataan dan juga strategi yang dilancarkan oleh establishment ini selepas PRU14, agak munasabah untuk dihujahkan yang kumpulan (establishment belakang tabir yang berkuasa) ini mempunyai pengaruh yang substantif dan berjaya mendesak serta meyakinkan kerajaan PH untuk mengambil beberapa keputusan tidak popular (dibaca dalam istilah akademik sebagai reformasi institusi atau struktural). Inilah antara punca makro yang menjurus terhadap keputusan PRK Semenyih apabila orang Melayu melihat PH gagal menjadi pelindung kepada kegelisahan orang Melayu. Kepada PH, masa untuk berubah ialah sekarang. Kotakan janji-janji anda sedapat mungkin. Henti menyalahkan rejim BN. Hentikan strategi pelencongan. Hentikan retorik double speak. Hentikan tangisan picisan. Pertauti dan santuni masyarakat luar bandar dan kawal establishment belakang tabir yang disebutkan sebelum ini.”

Tulisan penuh beliau tersebut boleh dibaca di pautan ini:

https://www.sinarharian.com.my/article/16084/KHAS/Pendapat/Pakatan-Harapan-dan-badi-kuasa

Dr Kamarul Yusoff